Pendapat tentang bahasa rakyat Malaysia

Bercakap tentang bahasa, aku percaya kebanyakkan negara hanya menggunakan satu bahasa sebagai lambang perpaduan di negara tersebut. Bahasa disini aku tidak hadkan pada bahasa formal semata2, ia boleh jadi bahasa yang dipersetujui kesemua rakyat disesebuah negara untuk digunakan. Aku ambil contoh singapura yang berbangga dengan bahasa singlish mereka. Walaupun mereka sendiri mahir dalam bahasa inggeris dan fasih sedikit dalam bahasa ras masing2. Singlish adalah lambang identiti singapura yang sebenar untuk menunjukkan mereka boleh bersatu padu walaupun ada pelbagai bangsa untuk membuktikan kepelbagaian mereka masih lagi harmoni. Dalam hal perpaduan bangsa melayu cina india, aku rasa singapura jauh lebih kehadapan berbanding Malaysia yang dari dulu lagi gagal untuk memahamkan ketiga2 bangsa ini untuk saling bersatu padu.

Dalam hal lain aku melihat indonesia adalah negara yang berjaya mengasimilasikan bangsa didalam negara tersebut untuk menggunakan bahasa indonesia. Namun kita kena sedar bahasa indonesia juga adalah bahasa baru hasil gabungan bahasa melayu + belanda + inggeris +bahasa daerah di Indonesia. Sebab itu, bagi pendapat aku puisi melayu jauh lebih indah daripada puisi bahasa indonesia sebab kita tak banyak menyerap bahasa lain kedalam bahasa kita tak sebanyak bahasa indonesia sendiri. Tetapi yang menariknya, konsep bahasa indonesia lebih terjamin dan baru baru ni owner Gojek mengidamkan untuk bahasa indonesia digunakan sebagai bahasa dunia. Menarik bukan?

Di Indonesia sendiri universiti menggunakan bahasa indonesia.Bukan itu sahaja, segala hubungan koporat, bidang kedoktoran dan sebagainya masih lagi menggunakan bahasa indonesia. Ini bermakna mereka mampu membina perpaduan bangsa dengan menggunakan bahasa Indonesia.

Jadi, dimanakan hala tuju bahasa melayu dan apakah bahasa untuk rakyat Malaysia? Aku tak berani untuk membandingkan prinsip selain daripada alam melayu kerana ianya luar dari pengetahuan aku jadi dalam penulisan aku kalini aku hanya akan bercakap dalam ruang lingkup kepulauan melayu sahaja.

Dalam perbandingan aku dengan dua buah negara ini, aku akan mulakan dengan singapura. Aku suka dengan telatah rakyat Malaysia terutama sekali golongan bangsar bubble yang terlalu bangga dengan penggunaan Manglish. Jika bercakap dengan golongan BB ni pada pandangan mereka perpaduan kita hanyalah sekadar melayu cina india yang mereka ambil dari konsep yang sama dengan singapura. Kita tak mampu pun berbicara tentang konsep bahasa dengan mereka sebab bagi mereka bahasa melayu bukanlah nilai yang penting dalam perpaduan tetapi bagaimana sistem harus diubah untuk menjadikan kita lebih harmoni. Walhal, yang menjadi mangsa kepada sistem bukan mereka pun, tetapi golongan2 melayu kampung yg tak berkuasa kepada sistem kerana bkn mereka yang mengisi tempat golongan elit. Sebab tu golongan BB kena buka mata dan berkawan dengan orang2 luar bubblenya untuk tahu yang "Uncle, Saya nak roti canai wonne. Tapau ah." adalah benda yang cringe bagi orang yang bukan berada di kawasan bandar.

Jadi konsep Manglish dan apa saja wawancara BB ni memang tak akan diterima oleh orang luar bandar bahkan di Borneo sekalipun. Hal ini kerana bila kita nak bercakap tentang bangsa cina, kita nak bercakap tentang cina yang mana? Hokkien,hakka,foohow?. Begitu juga dengan india dengan tamil, gujrati dan sebagainya. Sama juga dengan melayu yang diasingkan dengan suku2 negeri ditambah pula dengan campuran ras dari thai dan indonesia. Suku kaum sabah dan sarawak lagilah ada pelbagai etnik. Setiap bangsa dibesarkan di geografi yang berbeza dengan cara hidup dan adat yang berbeza2. Jadi amatlah sukar untuk kita meniru konsep yang sama dengan singapura yang bersetuju dibawah identiti yang sama ditambah pula dengan populasi yang lebih sedikit. Kini dibawah seliaan PAP yang konservatif kita dapat lihat yang singapura sendiri lebih mempertahankan identiti mereka sebagai "singapura" yang baharu berbanding kita yang masih terkapai2 dan berdebat tentang konsep identiti. 
Imej dari Ayman Rashdan Wong ( hijau Hokkien, purple Kantonis, biru Hakka, kuning Foochow, oren Teochew.)

Seterusnya, proses asimilasi indonesia yang dicanang canang oleh ekstrimis konservatif melayu di malaysia yang terlampau memaksa bangsa lain untuk menerima bahasa melayu. Untuk mendapatkan kemerdekaan, Indonesia mengadaikan nyawa atas nama bangsa Indonesia untuk melawan belanda dan juga merampas sebahagian riau dan papua. Ini bermakna asimilasi mereka tidaklah semudah yang disangka dan pemaksaan itu berlaku di Indonesia. Bagi saya orang di Malaysia harus faham yang kita mengamalkan konsep integrasi dan bukan asimilasi. Integrasi sangat sesuai dengan kita kerana sejak tamadun melaka dan srivijaya lagi kita lebih kepada diplomasi berbanding majapahit yang berjuang dengan darah. Oleh sebab itu, kita tidak seharusnya marah jika ada tulisan cina dipapan tanda atau ada bahasa tamil dimana2 kedai sebab itulah kebebasan yang kita letakkan pada konsep bahasa kita. Untuk kita mengamalkan asimilasi seperti Indonesia saya percaya akan lebih banyak darah yang dipergadaikan dan lebih banyak masalah timbul pada negara kita.

Indonesia ada bercakap tentang Max Majapahit untuk menjadikan kalimantan sebagai ibu negara baharu yang boleh menguasai semua ekonomi di kepulauan Melayu. Jadi adakah kita harus berdiam diri? Ini adalah Solusi yang saya cadangkan.

Kita harus ada konsep bahasa sama seperti kedua dua negara tersebut dan saya cadangkan untuk menggunakan prinsip pemerkasaan bahasa dengan pesaingan hebat. Mahu atau tidak mahu kita harus menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa yang menyatupadukan kita semua. Dengan cara apa? Pemerkasaan. Kita harus meletakkan standard yang tinggi untuk bahasa melayu sejak dipendidikan awal sekolah lagi. Saya ambil contoh, di sekolah format untuk penggunaan bahasa inggeris dan melayu adalah sama. Bila keluar di alam pekerjaan dan universiti yang bahasa inggeris adalah dominan adakah bahasa melayu dapat dimartabatkan selepas itu? atas kerana itu bahasa melayu disekolah perlu diberikan standard yang lebih tinggi daripada bahasa inggeris dan penggunaan bahasa melayu adalah perlu untuk beberapa subjek di universiti.

Kedua, jika indonesia menggunakan konsep mengutamakan bahasa indonesia, lestarikan bahasa daerah, pelajari bahasa asing dan singapura yang menggunakan keempat2 bahasa sebagai tanda perpaduan. Kenapa kita tidak ada konsep kita sendiri? Pada pendapat saya pemerkasaan disini adalah dengan meletakkan tahap2 bahasa yang digunakan untuk bahasa melayu. Sebagai contoh, kritikan orang melayu kepada tahap pertuturan orang cina di malaysia. Kita tak boleh salahkan mereka kerana orang yang berakap dialek negeri sendiri mengalami masalah yang sama. Jadi, kita perlu letakkan tahap iaitu tahap bahasa rendah , bahasa sederhana dan bahasa tinggi. Akan tetapi, kita perlu buang double standard pelat dialek dalam pertuturan mereka kerana alunan suara dan penggunaan bahasa sama ada tersirat ataupun tersirat itu lebih penting. 

Ketiga, kembali kepada konsep integrasi yang saya cungkilkan tadi. Bagus untuk kita letakkan tahap bahasa kepada bahasa lain yang ada di Malaysia seperti mandarin dan tamil. Lebih bagus jika lebih ramai rakyat malaysia yang boleh bertutur pelbagai bahasa yang ada di Malaysia. Tetapi bagaimana kita ingin bersatu dibawah bahasa melayu jika bahasa sendiri kompetitif antara satu sama lain?
Tiada cara lain bagi saya selain daripada kita memang harus bertarung untuk bahasa mana yang lebih gah. Akan tetapi, pendapat saya bahasa melayu akan lebih mendapat kelebihan kerana jati diri yang ada pada orang melayu sendiri yang akan dibangkitkan. Seperti bahasa inggeris, ianya hanyalah satu bahasa yang digunakan dalam pendidikan dan korporat. Mandarin dan tamil hanya digunakan sebagai pertuturan harian. Jadi untuk bahasa melayu kita perlu meletakkan fungsi iaitu sebagai perpaduan dan pembentuk identiti yang ada di Malaysia dan ianya kembali kepada poin utama saya iaitu pemerkasaan.

Keempat, konsep identiti Malaysia adalah untuk semua sudut identiti seseorang individu di Malaysia. Geografi, bangsa, etnik, jantina dan sebagainya. Mereka yang ada pelbagai "identiti individu" perlu bersetuju untuk menjadikan bahasa melayu sebagai penyatuan mereka. Akan tetapi, disebabkan bahasa melayu tak digunakan dalam pelbagai keperluan. kesedaran identiti itu sendiri penting buat rakyat Malaysia. Atau lebih mudah, kepentingan konsep identiti itu sendiri perlu diajar kepada rakyat Malaysia.

Secara konklusi, bahasa adalah penting sebagai identiti untuk menjadi bukti bahawasanya kita bersatu dibawah perpaduan bangsa Malaysia yang pendapat saya perlu dibina di atas jalan sendiri tanpa berpaksikan kepada Indonesia mahupun Singapura.

Comments